Kita adalah bagaimana cara kita memandang. Andai seseorang itu melihat hidup ini adalah tempat untuk bermewah dan berhibur, maka harta dan keseronokan yang akan dicari. Begitulah sebaliknya, jika dunia dilihat sebagai tempat mencari bekal di akhirat, maka amal, dakwah adalah teman hidupnya. Inilah yang dinamakan pandangan alam atau worldview. Sungguh besar kesan cara kita melihat dan memandang terhadap hidup dan cara kita hidup. Maka, Islam memberi panduan.

Mari melihat pada zahir Ali dan Ah Chong, mereka adalah sama. Cukup 2 mata, 2 telinga dan hidungnya. Ali bekerja dan Ah Chong juga bekerja. Namun pada syahadah dinilai, maka segala yang tipis perbezaannya, menjadi  pemisah Islam dan bukan Islam. Kerana syahadah, Ali bekerja dengan tekun, rezekinya baik, dan kepada ahli keluarganya keberkatan itu sampai. Namun Ah Chong, kerjanya rajin, tetapi kerana tiada panduan hidup gajinya diguna untuk berjudi dan sesuatu yang akhirnya adalah sia-sia. Islam menjadi pemisah dan yang membezakan sesuatu yang pada zahir serta permukaannya sama, walau senipis dan sekecil mana pun perbezaan itu.

Ekonomi Sosialis

Ketika era 60-an, ramai yang terpesona dan kagum dengan sistem ekonomi sosialis. Dalam sistem Sosialis, pemilikan harta adalah sama rata yang bermakna harta orang kaya akan diambil untuk diberikan kepada orang miskin. Sistem ini pada zahirnya dikatakan sama dengan sistem zakat, dan dikatakan sistem sosialis adalah sistem yang islamik sehingga ada yang menulis buku Islamik Sosialis. Perbezaannya tipis. Namun apabila di kaji pada dasarnya, sistem sosialis meletakkan had dalam pemilikan harta, lalu harta yang melebihi had akan dirampas dan diberi kepada rakyat miskin. Produktiviti akan terbantut dan menyebabkan ekonomi lumpuh tidak bergerak. Berbeza dengan zakat, di mana Islam memberi kebebasan untuk sesiapa berusaha dan memiliki harta selagi ia berada dalam keizinan syariat. Cuma apabila sampai bilangan dan kadarnya, maka dikeluarkan sebahagian harta untuk membantu mereka yang memerlukan. Islam lebih fitrah yang tidak menyekat kebebasan untuk memiliki kekayaan.

Demokrasi dan Islam

Membawa kepada konteks yang lebih besar, soal kenegaraan, zaman kini mengatakan demokrasi adalah sistem yang terbaik. Demokrasi memberi kebebasan kepada semua untuk bersuara dalam membuat keputusan dan memilih pemimpin. Peluang sama rata kepada semua. Maka ada yang merasakan inilah keadilan dan kebebasan yang bertepatan dengan Islam. Diperjuangkanlah demokrasi sebagaimana diperjuangkannya Islam. Ya, pada permukaannya sama, antara demokrasi dan sistem Islam yakni syura. Malah mungkin dirasakan lebih baik dari sistem syura yang kadang kala dilihat seumpama kuasa veto sekelompok manusia dalam membuat keputusan. Benarkah Islam itu tidak adil dan menyekat kebebasan? Lihatlah pada perbezaan dasar yang menjadi pemisah besar antara demokrasi dan sistem islam.

Dalam pemilihan pemimpin melalui demokrasi dalam konteks pilihanraya, syarat hanya diletakkan kepada mereka yang akan dipilih atau calon. Tolak syarat umur dan syarat teknikal lain, secara sedar atau tidak sedar, demokrasi meletakkan syarat pemimpin dipilih dikalangan mereka yang mempunyai kuasa wang yang besar. Ini kerana, seorang pemimpin dipilih jika dia adalah seorang yang dekat serta prihatin kepada rakyat. Dan untuk  mendekati rakyat suatu bajet yang besar diperlukan. Apatah lagi jika ia adalah sebahagian dari kempen untuk memancing undid an kempen itu sendiri memakan belanja yang besar.

Melalui sistem pemilihan syura, pemimpin dipilih dengan syarat seorang yang adil, taqwa dan ‘alim atau faqih. Taqwa yang bermaksud tidak melakukan dosa besar dan tidak melakukan dosa kecil secara berterusan (berakhlak baik). Manakala ‘alim bermaksud seseorang yang menguasai ilmu agama dan ilmu semasa. Islam memberikan syarat yang lebih ketat kepada seseorang yang ingin dilantik menjadi pemimpin.

Maka dalam pemilihan pemimpin, antara memilih seorang yang baik akhlaknya, faqih ilmunya namun dikatakan kurang prihatin membantu rakyat kerana kecil kewangannya, atau seorang tauke judi yang sering membantu rakyat kerana melimpah ruah hartanya hasil dari industri judi, yang manakah lebih baik menjadi pemimpin? Dan Islam memberi keadilan serta cara yang terbaik memilih pemimpin.

Syura juga menetapkan syarat bukan sahaja kepada orang yang dipilih, tetapi juga orang yang memilih. Demokrasi hanya menetapkan syarat seperti kelayakan umur untuk memilih, tetapi Islam meletakan syarat orang yang memilih sama seperti calon pemimpin. Logiknya, andai sebuah bandar penduduknya separuh penagih dadah, suku pengedar dadah dan suku lagi anti dadah, dalam sistem demokrasi, tipislah harapan seorang calon anti dadah untuk menang di bandar tersebut. Secara tidak sedar, demokrasi adalah timing bomb atau bom jangka kerana pemimpin yang memudaratkan serta merugikan Islam dan umat Islam boleh terpilih andai rakyat atau mereka yang memilih tidak terdidik dengan Islam. Disinilah bukti kesejahteraan Islam, pemimpin baik yang selayaknya dipilih oleh mereka yang baik dan selayaknya untuk memilih.

Islam itu sempurna bahkan menyempurnakan. Maka, demokrasi perlu pengharmonian Islam dan bersih dari sekularis.

Sesungguhnya empayar penjajah Britain sendiri menyedari bahawa demokrasi adalah timing bomb yang boleh memusnahkan mereka. Mereka tidak menggabungkan tanah jajahan mereka dengan Great Britain. Tidak sebagaimana Rusia yang memasukkan jajahah mereka dan membentuk USSR. Bagi Britain, India tetap India, Tanah Melayu tetap Tanah Melayu. Mereka tidak mahu bangsa yang dijajah mempunyai hak memilih yang sama dan menjadi majoriti apabila mereka bergabung sehingga memungkinkan kejatuhan kuasa mereka di London. Pendokong Demokrasi takut kepada Demokrasi.

Begitu juga, untuk manyekat majoriti suara, umat Islam dijadikan minoriti di bebarapa negara. Umat Islam di benua kecil India dipecahkan kepada Pakistan, Bangladesh dan Kashmir. Begitu juga negara dan bangsa Kurdistan dipecahkan dan dibahagikan kepada Turki, Iraq, Iran disekelilingnya bagi menjadikan mereka minoriti dan hampir tidak mempunyai suara di setiap negara. Dengan cara ini, bangsa kurdis yang pernah melahirkan Salahuddin Al-Ayubi tidak akan bangkit dan menjadi lemah.

Demokrasi dimanipulasi.

Isu PAS-UMNO

Dalam isu yang melibatkan perpaduan PAS dan UMNO, saya bukanlah seorang yang selayaknya untuk mengulas dan memberi pendapat, apatah lagi diri bukanlah seorang yang terlibat dalam politik kedua-dua belah pihak. Tapi isu ini adalah isu besar yang terus bermain di media dan diulas semua pihak termasuk rakyat marhaen. Ramai yang mengatakan PAS dan UMNO mempunyai persamaan dan seharusnya boleh bersatu. Persamaan yang dimaksudkan adalah sama akidah, sama Islam, sama Bangsa Melayu yang mana persamaan adalah sama pada permukaan. Jika terjun ke dasar dan diselam pada prinsipnya, mereka adalah berbeza dan berdiri tidak sama. Apakah perbezaannya? Mereka yang berada di dalam pasti lebih mengetahui. Untuk kita yang berada di luar, lihat dan nilailah hal ini dengan pandangan Islam, kerana dengan pandangan itu jauhari akan mengenal manikam, kaca dan permata dapat dibezakan.

Kesimpulan

Letaklah Islam sebagai panduan dalam melihat dan menilai sesuatu dalam hidup dan ketika membuat keputusan. Islam meberi panduan dalam membezakan antara yang haq dan yang batil. Kebenaran dan kebatilan itu andai tidak sama tapi hanya serupa pada zahirnya, namun ia tetap sesuatu yang berbeza.

Seeru ‘ala Barakatillah