Piala Dunia Afrika Selatan 2010. Demamnya telah seminggu bermula. Semua yang gila dan kaki bola, ‘kiblatnya’ adalah Afrika Selatan, ‘qiamulail’nya menonton bola di tengah malam dan ‘zikir’nya adalah gol!!. 32 pasukan yang bertanding akan menjadi ‘mazhab’ dan ikutan peminatnya. Oh, menarik dan hebat Piala Dunia itu. Bagai ‘agama’ baru. Dan saya sendiri, insan yang meminati permainan bola sepak tidak terlepas menikmati perlawanan yang dihidangkan. Tetapi untuk menonton semua perlawanan termasuk yang di tengah malam awal pagi, maaf, kerja di Lab Research esok paginya masih ada.

Banyak yang menarik di Piala Dunia kali ini. Namun tidak perlu di ceritakan semula disini. Boleh rujuk dan ikuti perkembangannya di semua halaman bola sepak. Pasti wartawan bola juga tidak menang tangan sekarang ini. Hanya satu yang ingin dikongsi disini. Hanya satu. Jepun menang menentang Cameroon.

Jepun menang.

Jepun yang dirasakan seperti kampung halaman ke-2, pastinya ingin diberi sokongan untuk menang. Dan kemenangan diperlawanan pertama mereka di edisi kali ini, memberikan kemenangan manis bagi dunia bola sepak Jepun. Itulah kemenangan pertama mereka dalam piala dunia yang diadakan di luar Jepun. Bermakna, selain ketika menjadi tuan rumah bagi edisi 2002, Jepun tidak pernah memenangi perlawanan piala dunia. Hanya hadir sebagai pelengkap wakil Asia, tanpa memberi saingan. Tetapi jaringan tunggal Keisuke Honda, memadamkan hakikat pahit itu dan memberikan rasa bangga kepada penduduk Jepun, termasuk teman lab saya.

Sebab mamat ni kereta dan motor Honda naik harga

Yang boleh dipelajari.

Ketika tahun 80-an bola sepak Jepun mengalami zaman gelap, tiada liga profesional dan langsung tidak dikenali di peringkat bola sepak antarabangsa. Tetapi ada sekelompok mereka yang menginginkan dan mahu mengubah Jepun menjadi kuasa bola sepak dunia. Dan dari impian itu, mereka bermula dengan fantasi komik. Munculnya komik Captain Tsubasa. Dilahirkan seorang bintang yang dibahunya terletak harapan untuk mengubah bola sepak Jepun. Dengan segala teknik, gaya permainan dan yang utama, keazaman yang utuh, Captain Tsubasa bersama rakan-rakannya menawan dunia dengan bola sepak. Komik itu menjadi popular dari zaman awal kemunculannya sehingga sekarang. Dan saya sendiri masih membacanya semenjak kecil.

Captain Tsubasa

Dengan contoh kekuatan semangat dan azam yang tinggi, Captain Tsubasa yang hanya muncul dalam lembaran komik fantasi, menjadi contoh dan inspirasi mereka yang membacanya. Dan saya yakin, pemain-pemain Jepun sekarang yang rata-rata berumur 20 dan 30-an, pastinya membesar dengan komik tersebut dan impian bola sepak mereka bermula dari situ. Dan hasilnya kini, sedikit demi sedikit pasukan Jepun hadir kepada dunia. Bermula dari impian Captain Tsubasa, seterusnya mengorak langkah memulakan liga profesional (Liga-J) pada tahun 1993. Hasil kejayaan liga mereka menuai dengan layak ke Piala Dunia 5 tahun selepas itu. Dan kini, mereka mampu untuk memberi saingan dan kemenangan di piala dunia. Captain Tsubasa benar-benar ‘Messiah‘ bagi bola Jepun.

Apa kaitan kita sebagai Islam?

Seorang Muslim pastinya mengimpikan untuk dapat melangkah kaki di dalam syurga. Dan untuk impian itu, Allah mengutuskan ‘Captain Tsubasa’ untuk kita ikut jejak langkahnya sehingga ke syurga. Itulah Baginda junjungan besar Nabi Muhammad. Rasulullah itu sebagai inspirasi dan contoh ikutan. ‘Komik’ dari Allah mencoretkan inspirasi itu,

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah”

(Al-Ahzab :21 )

Bermula dengan impian syurga, ambil Rasulullah sebagai teladan, kita usaha amalkan. Dengan rahmat Allah pastinya syurga akan kita tawan. Pastinya kejayaan itu lebih manis berbanding kejayaan Captain Tsubasa menawan piala dunia untuk Jepun. Agama Islam itu lebih indah dari ‘agama’ bola kan? Pastinya.

(Owh FAM, Jepun sebelum 1993, belajar dengan Malaysia cara mengendalikan liga profesional!! 1998 mereka layak ke Piala Dunia dan tidak pernah terlepas edisi selepas itu. Tetapi kenapa pasukan Malaysia masih terkial-kial lawan Vietnam?? )

Seeru ‘ala Barakatillah