Masjid Saidina Hussein

Masjid Saidina Hussein

“Inilah Masjid Saidina Hussein. Didalamnya Makam kepala cucunda Rasulullah.”, jelas Ustaz Hakeem yang menjadi ‘tour guide’ bagi pusing-pusing di Kota Kaherah.

Gagah dan utuh Masjid Saidina Hussein. Maklumlah kami, bagaimana masjid ini bertahan walaupun berlaku pengeboman di deretan cafe betul-betul di sebelah masjid seminggu sebelum kami sampai. Allah jua yang memelihara rumahNya.

Sedia maklum, Saidina Hussein telah dipancung dan dibunuh dalam pertempuran di Karbala, Iraq. Lalu kepala baginda dibawa ke Mesir dan disemadikan di sana. Peristiwa pembunuhan ini dikenang sebagai salah satu peristiwa dalam hari Asyura, 10 Muharram dan penganut Syiah sentiasa meratapi kematian Saidina Husein saban tahun, sehingakan golongan yang ekstrem akan mencederakan diri sendiri sebagai tanda penyesalan. Namun biarlah perkara itu dan usah ditimbulkan perbezaan mazhab Sunni dan Syiah pada entry kali ini.

Menjejak masuk ke dalam masjid, hati ingin terus berada di hadapan makam. Lantas kaki perlahan-lahan dalam langkahan tenang menuju ke ruangan makam. Terasa udara tenang. Alunan ayat suci dari pelawat di sekeliling makam menambah tenang. Bauan bunga dan wangian semilir singgah di hidung. Cahaya lampu yang kemilau menambah aura di ruangan makam. Tersergam makam berpagar perak di tengah ruangan. Oh, kini aku berdiri di sisi makam kepala Saidina Hussein, cucu kesayangan yang pernah duduk di pangkuan riba Rasulullah.

Makam Saidina Hussein

Makam Saidina Hussein

Al-Fatihah dan doa dipanjatkan ke atas Saidina Hussein. Mengucapkan juga terima kasih di atas sumbangan dan jasa yang telah ditinggalkan. Terus hati menangkap rasa sayu dan hiba. Ditambah kedengaran bait-bait doa di dinding makam yang dibaca oleh seorang lelaki Arab bersebelahan. Meskipun tidak memahami sepenuhnya, kelunakan suara dan alunan bacaan doa yang bersederhana menambah hiba di hati, lantas airmata sedia jatuh mengalir. Terkenang cerita pengorbanan Saidina Hussein menjadi pendamai golongan yang menentang kepimpinan Khalifah Yazid bin Muawiyah. Baginda berkorban sehingga terkorban !

Bersemadinya cucunda Rasulullah

Bersemadinya cucunda Rasulullah

Moga kami dapat mengikut jejakmu menjadi insan di sayangi Allah dan kekasihNya.

Melihat yang tidak terlihat

“Terasa tenang di Raudah dan terasa sayu berada di sisi makam Rasulullah.”

Ungkapan dan rasa-rasa yang sering didengari dari mereka yang melawat atau mengunjungi makam para solihin. Tapi adakah cukup dengan merasa tanpa menyelami teladan dan ibrah. Usahlah hanya melihat makam sebagai objek untuk di sayu, tapi lihatlah dengan nilaian ilmu, sejarah dan pengajaran. Andai hanya disandar pada perasaan,ya, kita mungkin akan menangis sayu, tapi tangisan kosong tanpa mendapat apa-apa. Kita tidak dapat apa-apa kerana kita tidak ‘melihat’ apa-apa.

Andai yang diziarahi makam Rasulullah, kenangkanlah pengorbanan baginda, kecintaan Nabi pada umatnya, susah payah dakwah junjungan sehingga kita dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam.

Inilah keberkatan ziarah makam orang-orang solih. Berkat hidup dengan dengan mengambil inspirasi perjuangan dan jasa mereka ke dalam hidup kita.

What you see is what you get !

Seeru ‘ala Barakatillah.