You are currently browsing the category archive for the ‘Semasa’ category.

Kita adalah bagaimana cara kita memandang. Andai seseorang itu melihat hidup ini adalah tempat untuk bermewah dan berhibur, maka harta dan keseronokan yang akan dicari. Begitulah sebaliknya, jika dunia dilihat sebagai tempat mencari bekal di akhirat, maka amal, dakwah adalah teman hidupnya. Inilah yang dinamakan pandangan alam atau worldview. Sungguh besar kesan cara kita melihat dan memandang terhadap hidup dan cara kita hidup. Maka, Islam memberi panduan.

Mari melihat pada zahir Ali dan Ah Chong, mereka adalah sama. Cukup 2 mata, 2 telinga dan hidungnya. Ali bekerja dan Ah Chong juga bekerja. Namun pada syahadah dinilai, maka segala yang tipis perbezaannya, menjadi  pemisah Islam dan bukan Islam. Kerana syahadah, Ali bekerja dengan tekun, rezekinya baik, dan kepada ahli keluarganya keberkatan itu sampai. Namun Ah Chong, kerjanya rajin, tetapi kerana tiada panduan hidup gajinya diguna untuk berjudi dan sesuatu yang akhirnya adalah sia-sia. Islam menjadi pemisah dan yang membezakan sesuatu yang pada zahir serta permukaannya sama, walau senipis dan sekecil mana pun perbezaan itu.

Ekonomi Sosialis

Ketika era 60-an, ramai yang terpesona dan kagum dengan sistem ekonomi sosialis. Dalam sistem Sosialis, pemilikan harta adalah sama rata yang bermakna harta orang kaya akan diambil untuk diberikan kepada orang miskin. Sistem ini pada zahirnya dikatakan sama dengan sistem zakat, dan dikatakan sistem sosialis adalah sistem yang islamik sehingga ada yang menulis buku Islamik Sosialis. Perbezaannya tipis. Namun apabila di kaji pada dasarnya, sistem sosialis meletakkan had dalam pemilikan harta, lalu harta yang melebihi had akan dirampas dan diberi kepada rakyat miskin. Produktiviti akan terbantut dan menyebabkan ekonomi lumpuh tidak bergerak. Berbeza dengan zakat, di mana Islam memberi kebebasan untuk sesiapa berusaha dan memiliki harta selagi ia berada dalam keizinan syariat. Cuma apabila sampai bilangan dan kadarnya, maka dikeluarkan sebahagian harta untuk membantu mereka yang memerlukan. Islam lebih fitrah yang tidak menyekat kebebasan untuk memiliki kekayaan.

Demokrasi dan Islam

Membawa kepada konteks yang lebih besar, soal kenegaraan, zaman kini mengatakan demokrasi adalah sistem yang terbaik. Demokrasi memberi kebebasan kepada semua untuk bersuara dalam membuat keputusan dan memilih pemimpin. Peluang sama rata kepada semua. Maka ada yang merasakan inilah keadilan dan kebebasan yang bertepatan dengan Islam. Diperjuangkanlah demokrasi sebagaimana diperjuangkannya Islam. Ya, pada permukaannya sama, antara demokrasi dan sistem Islam yakni syura. Malah mungkin dirasakan lebih baik dari sistem syura yang kadang kala dilihat seumpama kuasa veto sekelompok manusia dalam membuat keputusan. Benarkah Islam itu tidak adil dan menyekat kebebasan? Lihatlah pada perbezaan dasar yang menjadi pemisah besar antara demokrasi dan sistem islam.

Dalam pemilihan pemimpin melalui demokrasi dalam konteks pilihanraya, syarat hanya diletakkan kepada mereka yang akan dipilih atau calon. Tolak syarat umur dan syarat teknikal lain, secara sedar atau tidak sedar, demokrasi meletakkan syarat pemimpin dipilih dikalangan mereka yang mempunyai kuasa wang yang besar. Ini kerana, seorang pemimpin dipilih jika dia adalah seorang yang dekat serta prihatin kepada rakyat. Dan untuk  mendekati rakyat suatu bajet yang besar diperlukan. Apatah lagi jika ia adalah sebahagian dari kempen untuk memancing undid an kempen itu sendiri memakan belanja yang besar.

Melalui sistem pemilihan syura, pemimpin dipilih dengan syarat seorang yang adil, taqwa dan ‘alim atau faqih. Taqwa yang bermaksud tidak melakukan dosa besar dan tidak melakukan dosa kecil secara berterusan (berakhlak baik). Manakala ‘alim bermaksud seseorang yang menguasai ilmu agama dan ilmu semasa. Islam memberikan syarat yang lebih ketat kepada seseorang yang ingin dilantik menjadi pemimpin.

Maka dalam pemilihan pemimpin, antara memilih seorang yang baik akhlaknya, faqih ilmunya namun dikatakan kurang prihatin membantu rakyat kerana kecil kewangannya, atau seorang tauke judi yang sering membantu rakyat kerana melimpah ruah hartanya hasil dari industri judi, yang manakah lebih baik menjadi pemimpin? Dan Islam memberi keadilan serta cara yang terbaik memilih pemimpin.

Syura juga menetapkan syarat bukan sahaja kepada orang yang dipilih, tetapi juga orang yang memilih. Demokrasi hanya menetapkan syarat seperti kelayakan umur untuk memilih, tetapi Islam meletakan syarat orang yang memilih sama seperti calon pemimpin. Logiknya, andai sebuah bandar penduduknya separuh penagih dadah, suku pengedar dadah dan suku lagi anti dadah, dalam sistem demokrasi, tipislah harapan seorang calon anti dadah untuk menang di bandar tersebut. Secara tidak sedar, demokrasi adalah timing bomb atau bom jangka kerana pemimpin yang memudaratkan serta merugikan Islam dan umat Islam boleh terpilih andai rakyat atau mereka yang memilih tidak terdidik dengan Islam. Disinilah bukti kesejahteraan Islam, pemimpin baik yang selayaknya dipilih oleh mereka yang baik dan selayaknya untuk memilih.

Islam itu sempurna bahkan menyempurnakan. Maka, demokrasi perlu pengharmonian Islam dan bersih dari sekularis.

Sesungguhnya empayar penjajah Britain sendiri menyedari bahawa demokrasi adalah timing bomb yang boleh memusnahkan mereka. Mereka tidak menggabungkan tanah jajahan mereka dengan Great Britain. Tidak sebagaimana Rusia yang memasukkan jajahah mereka dan membentuk USSR. Bagi Britain, India tetap India, Tanah Melayu tetap Tanah Melayu. Mereka tidak mahu bangsa yang dijajah mempunyai hak memilih yang sama dan menjadi majoriti apabila mereka bergabung sehingga memungkinkan kejatuhan kuasa mereka di London. Pendokong Demokrasi takut kepada Demokrasi.

Begitu juga, untuk manyekat majoriti suara, umat Islam dijadikan minoriti di bebarapa negara. Umat Islam di benua kecil India dipecahkan kepada Pakistan, Bangladesh dan Kashmir. Begitu juga negara dan bangsa Kurdistan dipecahkan dan dibahagikan kepada Turki, Iraq, Iran disekelilingnya bagi menjadikan mereka minoriti dan hampir tidak mempunyai suara di setiap negara. Dengan cara ini, bangsa kurdis yang pernah melahirkan Salahuddin Al-Ayubi tidak akan bangkit dan menjadi lemah.

Demokrasi dimanipulasi.

Isu PAS-UMNO

Dalam isu yang melibatkan perpaduan PAS dan UMNO, saya bukanlah seorang yang selayaknya untuk mengulas dan memberi pendapat, apatah lagi diri bukanlah seorang yang terlibat dalam politik kedua-dua belah pihak. Tapi isu ini adalah isu besar yang terus bermain di media dan diulas semua pihak termasuk rakyat marhaen. Ramai yang mengatakan PAS dan UMNO mempunyai persamaan dan seharusnya boleh bersatu. Persamaan yang dimaksudkan adalah sama akidah, sama Islam, sama Bangsa Melayu yang mana persamaan adalah sama pada permukaan. Jika terjun ke dasar dan diselam pada prinsipnya, mereka adalah berbeza dan berdiri tidak sama. Apakah perbezaannya? Mereka yang berada di dalam pasti lebih mengetahui. Untuk kita yang berada di luar, lihat dan nilailah hal ini dengan pandangan Islam, kerana dengan pandangan itu jauhari akan mengenal manikam, kaca dan permata dapat dibezakan.

Kesimpulan

Letaklah Islam sebagai panduan dalam melihat dan menilai sesuatu dalam hidup dan ketika membuat keputusan. Islam meberi panduan dalam membezakan antara yang haq dan yang batil. Kebenaran dan kebatilan itu andai tidak sama tapi hanya serupa pada zahirnya, namun ia tetap sesuatu yang berbeza.

Seeru ‘ala Barakatillah

Piala Dunia Afrika Selatan 2010. Demamnya telah seminggu bermula. Semua yang gila dan kaki bola, ‘kiblatnya’ adalah Afrika Selatan, ‘qiamulail’nya menonton bola di tengah malam dan ‘zikir’nya adalah gol!!. 32 pasukan yang bertanding akan menjadi ‘mazhab’ dan ikutan peminatnya. Oh, menarik dan hebat Piala Dunia itu. Bagai ‘agama’ baru. Dan saya sendiri, insan yang meminati permainan bola sepak tidak terlepas menikmati perlawanan yang dihidangkan. Tetapi untuk menonton semua perlawanan termasuk yang di tengah malam awal pagi, maaf, kerja di Lab Research esok paginya masih ada.

Banyak yang menarik di Piala Dunia kali ini. Namun tidak perlu di ceritakan semula disini. Boleh rujuk dan ikuti perkembangannya di semua halaman bola sepak. Pasti wartawan bola juga tidak menang tangan sekarang ini. Hanya satu yang ingin dikongsi disini. Hanya satu. Jepun menang menentang Cameroon.

Jepun menang.

Jepun yang dirasakan seperti kampung halaman ke-2, pastinya ingin diberi sokongan untuk menang. Dan kemenangan diperlawanan pertama mereka di edisi kali ini, memberikan kemenangan manis bagi dunia bola sepak Jepun. Itulah kemenangan pertama mereka dalam piala dunia yang diadakan di luar Jepun. Bermakna, selain ketika menjadi tuan rumah bagi edisi 2002, Jepun tidak pernah memenangi perlawanan piala dunia. Hanya hadir sebagai pelengkap wakil Asia, tanpa memberi saingan. Tetapi jaringan tunggal Keisuke Honda, memadamkan hakikat pahit itu dan memberikan rasa bangga kepada penduduk Jepun, termasuk teman lab saya.

Sebab mamat ni kereta dan motor Honda naik harga

Yang boleh dipelajari.

Ketika tahun 80-an bola sepak Jepun mengalami zaman gelap, tiada liga profesional dan langsung tidak dikenali di peringkat bola sepak antarabangsa. Tetapi ada sekelompok mereka yang menginginkan dan mahu mengubah Jepun menjadi kuasa bola sepak dunia. Dan dari impian itu, mereka bermula dengan fantasi komik. Munculnya komik Captain Tsubasa. Dilahirkan seorang bintang yang dibahunya terletak harapan untuk mengubah bola sepak Jepun. Dengan segala teknik, gaya permainan dan yang utama, keazaman yang utuh, Captain Tsubasa bersama rakan-rakannya menawan dunia dengan bola sepak. Komik itu menjadi popular dari zaman awal kemunculannya sehingga sekarang. Dan saya sendiri masih membacanya semenjak kecil.

Captain Tsubasa

Dengan contoh kekuatan semangat dan azam yang tinggi, Captain Tsubasa yang hanya muncul dalam lembaran komik fantasi, menjadi contoh dan inspirasi mereka yang membacanya. Dan saya yakin, pemain-pemain Jepun sekarang yang rata-rata berumur 20 dan 30-an, pastinya membesar dengan komik tersebut dan impian bola sepak mereka bermula dari situ. Dan hasilnya kini, sedikit demi sedikit pasukan Jepun hadir kepada dunia. Bermula dari impian Captain Tsubasa, seterusnya mengorak langkah memulakan liga profesional (Liga-J) pada tahun 1993. Hasil kejayaan liga mereka menuai dengan layak ke Piala Dunia 5 tahun selepas itu. Dan kini, mereka mampu untuk memberi saingan dan kemenangan di piala dunia. Captain Tsubasa benar-benar ‘Messiah‘ bagi bola Jepun.

Apa kaitan kita sebagai Islam?

Seorang Muslim pastinya mengimpikan untuk dapat melangkah kaki di dalam syurga. Dan untuk impian itu, Allah mengutuskan ‘Captain Tsubasa’ untuk kita ikut jejak langkahnya sehingga ke syurga. Itulah Baginda junjungan besar Nabi Muhammad. Rasulullah itu sebagai inspirasi dan contoh ikutan. ‘Komik’ dari Allah mencoretkan inspirasi itu,

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah”

(Al-Ahzab :21 )

Bermula dengan impian syurga, ambil Rasulullah sebagai teladan, kita usaha amalkan. Dengan rahmat Allah pastinya syurga akan kita tawan. Pastinya kejayaan itu lebih manis berbanding kejayaan Captain Tsubasa menawan piala dunia untuk Jepun. Agama Islam itu lebih indah dari ‘agama’ bola kan? Pastinya.

(Owh FAM, Jepun sebelum 1993, belajar dengan Malaysia cara mengendalikan liga profesional!! 1998 mereka layak ke Piala Dunia dan tidak pernah terlepas edisi selepas itu. Tetapi kenapa pasukan Malaysia masih terkial-kial lawan Vietnam?? )

Seeru ‘ala Barakatillah

Christiano Ronaldo bernilai 80 juta pound.

Kaka berharga 65 juta pound.

Menggegarkan dunia, melariskan akhbar, meninggikan hit halaman web berkaitan dunia bola sepak.

Bengkek ngan mamat ni.Bagus dia pindah dari MU

'Bengkek' ngan mamat ni.Bagus dia pindah dari MU

Dari hujung Tokyo singgah di Lisbon, hingga ke Rio Janeiro, semua ‘hantu-hantu’ bola memperkatakan perpindahan dua bintang tersebut ke Kelab Real Madrid. Apatah lagi nilai perpindahan Ronaldo yang hampir setengan billion ringgit, menjadikan beliau pemain termahal dunia. Cukup untuk Malaysian Airlines menampung kerugian andai mengalami kerugian yang sama 2 kali sekalipun.

Benarlah kata Hussein Lempoyang dalam cerita 3 Abdul, “Dunia,Dunia..Berniaga manusia lagi untung dari berniaga unta.WOW!!”

Dunia menjadikan manusia boleh dinilai dengan nilaian wang. Nilaian seorang bintang bola sepak bernilai jutaan ringgit. Juga nilai hantaran kahwin bagi seorang wanita yang semakin tinggi sehingga timbul istilah jual anak. Walaupun ada pro dan kontranya, namun inikah sebenarnya nilai manusia? Boleh dijual beli dengan wang dan ringgit.

Nilaian syurga

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. (Surah At-Taubah : 111)

Allah telah membeli diri kita seorang muslim. Nilaiannya besar, jauh melebihi nilai wang yang berjuta. Nilaian syurga idaman. Namun pasti ada syaratnya. Allah membeli dengan menginginkan kita bekerja dan berjuang di jalanNya. Kerjanya pasti sukar, tapi ingatlah balasannya adalah syurga yang tidak tergambar di fikiran. Pastinya jual beli ini yang paling menguntungkan dan disitulah letak sebenar nilai seorang manusia.

Untung bukan, jual manusia?

p/s : Selamat Hari Bapa. Kepada sesiapa bakal bapa mertuaku, anakanda minta diskaun hantaran ketika meminang puteri pak cik..please.

Seeru ‘ala Barakatillah.

Satu berita yang mengejutkan. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan meningalkan sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland setelah mengecam Presiden Israel, Shimon Peres berkenaan isu Gaza dan Palestin. Terserlah keberanian dan keteguhan prinsipnya. Penerus kesinambungan insan terdahulu seperti Necmettin Erbakan dalam menegakkan kembali Islam di balik penjara sekularisme.

Semakin dekat di hati ini ke bumi khalifah, Turki. Semoga kaki akan melangkah disana…

(Nasib baik dia main tahan-tahan tangan moderator jer. Kalau dia betul-betul tak tahan, sampai gak rasanya pelempang kat moderator dan Shimon Peres tu.Huh..)

(Berblog dicelah kesibukan dan kesendatan kepala menghadapi musim peperiksaan dan Graduation Research Presentation (moga dipermudahkan). Sebab itu entry kali ini pendek..:-))

Seeru ‘ala Barakatillah.

Bumi Mekah dipenuhi jemaah haji yang menyahut seruan ilahi.Mereka menjadi tetamu Allah di bumi barakahNya.Datang dengan niat mensucikan jiwa dan hati.Semoga mencapai haji mabrur.

Diseluruh pelusuk dunia Islam ibadah qurban dijalankan.Haiwan ternakan;lembu,unta mahupun kambing akan ditumbangkan untuk diagihkan,menyebar luaskan keberkatan ibadah qurban.

AidilAdha menjelma lagi.

Menggamit rasa dan menuntut pengertian seribu falsafah dan hikmah yang tersirat.

Sering menjadi ingatan di Hari Raya AidilAdha ini adalah erti pengorbanan.Kisah Nabi Allah Ibrahim dan Ismail sering menjadi contoh untuk sama-sama direnung dan difikir.Apakah erti pengorbanan yang sebenar?

Nilai pengorbanan tertinggi adalah kerelaan berkorban tanpa meletakkan sebarang syarat.Sering manusia itu rela berkorban setelah keperluan diri dipenuhi.

“Aku akan keluarkan wang untuk infaq setelah cukup makan pakai keluargaku.”

“Aku akan sedia bekerja untuk dakwah setelah stabil urusan hidupku;pekerjaan atau pelajaranku.”

Mengenang Rasulullah dan para sahabat,mereka mengorbankan apa yang ada di tangan mereka walaupun ketika saat mereka sendiri merasai kekurangan. Berkorban dengan mengenepikan kepentingan diri demi agama yang tercinta.

Adakah kita sehebat itu?Tidak.

Namun kita boleh berusaha ke arahnya.Mungkin sukar,kerana itulah hakikat pengorbanan.

Jalan ke syurga adalah jalan yang menuntut pengorbanan.

Pergorbanan tertinggi adalah pengorbanan kepada Allah dan agamaNya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1429 Hijrah.

Kullu `amin wa antum bikhair.

Seeru ‘ala Barakatillah.

“Berita gempar, Saiful dah bersumpah!”

“Najib pulak dah bersumpah kat Permatang Pauh semalam.”

Aku pula, “Binatang sesumpah tak boleh makan, tak sedap pun!”

Dialog-dialog yang mengiringi perbualan rancak mengenai pilihan raya kecil P.44 Permatang Pauh.

Foto ehsan Malaysiakini

Membaca perkembangan politik Malaysia di kala ini, membuatkan diri bosan, lesu dan jemu untuk terus mengamatinya.Pilihan raya kecil Permatang Pauh kali ini, memaksa diri hanya untuk menunggu,melihat dan mendengar, untuk berbicara mengulasnya ketika rakan-rakan rancak berbual…MALAS menjadi alasan.Cukuplah kepala ligat memerhati dan menilai, yang sudah pun sedia meletihkan.

Cendekiawan Islam Turki, Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata, “Aku berlindung denganMu ya Allah dari syaitan dan politik.”

Politik yang dimaksudkan adalah politik kotor.Politik yang mengenepikan batas-batas syariat dan tatasusila kemanusiaan.Pentas politik dimainkan wataknya oleh sang pendusta dan mereka yang bertuhankan hawa nafsu.Digadaikan budi pekerti, tanpa segan silu dan tanpa ragu-ragu.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)

Merenung sepotong hadis ini yang tersiar di halaman Ustaz Hasrizal, membuatkan diri berfikir, ke masa depan bagaimanakah yang ingin kita halakan Malaysia ini..

Kepada pengundi P.44 Permatang Pauh, selamat mengundi, keputusan di akhir pangkahan anda.

“Mengubah sejarah atau menjadi sebahagian cerita sejarah..”

Seeru ‘ala Barakatillah

February 2020
M T W T F S S
« Aug    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
242526272829  

Doakan Palestin

Menyokong penduduk Palestin di Gaza adalah satu kewajipan agama pada setiap individu Islam dan tiada siapa dikecualikan daripada tugas tersebut -Sheikh Yusuf Al-Qardawi-