You are currently browsing the category archive for the ‘Tazkirah’ category.

Piala Dunia Afrika Selatan 2010. Demamnya telah seminggu bermula. Semua yang gila dan kaki bola, ‘kiblatnya’ adalah Afrika Selatan, ‘qiamulail’nya menonton bola di tengah malam dan ‘zikir’nya adalah gol!!. 32 pasukan yang bertanding akan menjadi ‘mazhab’ dan ikutan peminatnya. Oh, menarik dan hebat Piala Dunia itu. Bagai ‘agama’ baru. Dan saya sendiri, insan yang meminati permainan bola sepak tidak terlepas menikmati perlawanan yang dihidangkan. Tetapi untuk menonton semua perlawanan termasuk yang di tengah malam awal pagi, maaf, kerja di Lab Research esok paginya masih ada.

Banyak yang menarik di Piala Dunia kali ini. Namun tidak perlu di ceritakan semula disini. Boleh rujuk dan ikuti perkembangannya di semua halaman bola sepak. Pasti wartawan bola juga tidak menang tangan sekarang ini. Hanya satu yang ingin dikongsi disini. Hanya satu. Jepun menang menentang Cameroon.

Jepun menang.

Jepun yang dirasakan seperti kampung halaman ke-2, pastinya ingin diberi sokongan untuk menang. Dan kemenangan diperlawanan pertama mereka di edisi kali ini, memberikan kemenangan manis bagi dunia bola sepak Jepun. Itulah kemenangan pertama mereka dalam piala dunia yang diadakan di luar Jepun. Bermakna, selain ketika menjadi tuan rumah bagi edisi 2002, Jepun tidak pernah memenangi perlawanan piala dunia. Hanya hadir sebagai pelengkap wakil Asia, tanpa memberi saingan. Tetapi jaringan tunggal Keisuke Honda, memadamkan hakikat pahit itu dan memberikan rasa bangga kepada penduduk Jepun, termasuk teman lab saya.

Sebab mamat ni kereta dan motor Honda naik harga

Yang boleh dipelajari.

Ketika tahun 80-an bola sepak Jepun mengalami zaman gelap, tiada liga profesional dan langsung tidak dikenali di peringkat bola sepak antarabangsa. Tetapi ada sekelompok mereka yang menginginkan dan mahu mengubah Jepun menjadi kuasa bola sepak dunia. Dan dari impian itu, mereka bermula dengan fantasi komik. Munculnya komik Captain Tsubasa. Dilahirkan seorang bintang yang dibahunya terletak harapan untuk mengubah bola sepak Jepun. Dengan segala teknik, gaya permainan dan yang utama, keazaman yang utuh, Captain Tsubasa bersama rakan-rakannya menawan dunia dengan bola sepak. Komik itu menjadi popular dari zaman awal kemunculannya sehingga sekarang. Dan saya sendiri masih membacanya semenjak kecil.

Captain Tsubasa

Dengan contoh kekuatan semangat dan azam yang tinggi, Captain Tsubasa yang hanya muncul dalam lembaran komik fantasi, menjadi contoh dan inspirasi mereka yang membacanya. Dan saya yakin, pemain-pemain Jepun sekarang yang rata-rata berumur 20 dan 30-an, pastinya membesar dengan komik tersebut dan impian bola sepak mereka bermula dari situ. Dan hasilnya kini, sedikit demi sedikit pasukan Jepun hadir kepada dunia. Bermula dari impian Captain Tsubasa, seterusnya mengorak langkah memulakan liga profesional (Liga-J) pada tahun 1993. Hasil kejayaan liga mereka menuai dengan layak ke Piala Dunia 5 tahun selepas itu. Dan kini, mereka mampu untuk memberi saingan dan kemenangan di piala dunia. Captain Tsubasa benar-benar ‘Messiah‘ bagi bola Jepun.

Apa kaitan kita sebagai Islam?

Seorang Muslim pastinya mengimpikan untuk dapat melangkah kaki di dalam syurga. Dan untuk impian itu, Allah mengutuskan ‘Captain Tsubasa’ untuk kita ikut jejak langkahnya sehingga ke syurga. Itulah Baginda junjungan besar Nabi Muhammad. Rasulullah itu sebagai inspirasi dan contoh ikutan. ‘Komik’ dari Allah mencoretkan inspirasi itu,

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah”

(Al-Ahzab :21 )

Bermula dengan impian syurga, ambil Rasulullah sebagai teladan, kita usaha amalkan. Dengan rahmat Allah pastinya syurga akan kita tawan. Pastinya kejayaan itu lebih manis berbanding kejayaan Captain Tsubasa menawan piala dunia untuk Jepun. Agama Islam itu lebih indah dari ‘agama’ bola kan? Pastinya.

(Owh FAM, Jepun sebelum 1993, belajar dengan Malaysia cara mengendalikan liga profesional!! 1998 mereka layak ke Piala Dunia dan tidak pernah terlepas edisi selepas itu. Tetapi kenapa pasukan Malaysia masih terkial-kial lawan Vietnam?? )

Seeru ‘ala Barakatillah

Bumi Mekah dipenuhi jemaah haji yang menyahut seruan ilahi.Mereka menjadi tetamu Allah di bumi barakahNya.Datang dengan niat mensucikan jiwa dan hati.Semoga mencapai haji mabrur.

Diseluruh pelusuk dunia Islam ibadah qurban dijalankan.Haiwan ternakan;lembu,unta mahupun kambing akan ditumbangkan untuk diagihkan,menyebar luaskan keberkatan ibadah qurban.

AidilAdha menjelma lagi.

Menggamit rasa dan menuntut pengertian seribu falsafah dan hikmah yang tersirat.

Sering menjadi ingatan di Hari Raya AidilAdha ini adalah erti pengorbanan.Kisah Nabi Allah Ibrahim dan Ismail sering menjadi contoh untuk sama-sama direnung dan difikir.Apakah erti pengorbanan yang sebenar?

Nilai pengorbanan tertinggi adalah kerelaan berkorban tanpa meletakkan sebarang syarat.Sering manusia itu rela berkorban setelah keperluan diri dipenuhi.

“Aku akan keluarkan wang untuk infaq setelah cukup makan pakai keluargaku.”

“Aku akan sedia bekerja untuk dakwah setelah stabil urusan hidupku;pekerjaan atau pelajaranku.”

Mengenang Rasulullah dan para sahabat,mereka mengorbankan apa yang ada di tangan mereka walaupun ketika saat mereka sendiri merasai kekurangan. Berkorban dengan mengenepikan kepentingan diri demi agama yang tercinta.

Adakah kita sehebat itu?Tidak.

Namun kita boleh berusaha ke arahnya.Mungkin sukar,kerana itulah hakikat pengorbanan.

Jalan ke syurga adalah jalan yang menuntut pengorbanan.

Pergorbanan tertinggi adalah pengorbanan kepada Allah dan agamaNya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1429 Hijrah.

Kullu `amin wa antum bikhair.

Seeru ‘ala Barakatillah.

Serulah (manusia) kepada jalan TuhanMu denga hikmah dan nasihat yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya TuhanMu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

( Surah al-Nahl : 125)

sang-murabbi-poster1

“Apakah gerangan yang menjadikan dunia ini lebih menarik daripada dakwah itu sendiri?”

“Pedih hati, ustaz, melihat iman kita ini yang dipertaruhkan itu dikalahkan hanya oleh jabatan(pangkat) dan harta,ustaz.”

Itulah antara bait kata-kata yang dipetik dari dalam filem Sang Murabbi.Alhamdulillah,dengan kemurahan hati seorang sahabat yang sudi meminjamkan DVD filem tersebut, dapat juga diri ini menonton filem yang memberi mesej dalam kepada setiap diri yang sedia berkorban di jalan dakwah.

Sebuah filem yang menyentuh jiwa.Mengisahkan liku-liku kehidupan seorang syeikh tarbiyah di Indonesia,Ustaz Rahmat Abdullah.Dipaparkan uslub dakwah dan nilai tarbiyah beliau yang mampu dicontohi oleh mereka yang bergelar para dai’.Sesungguhnya di dalam filem ini terdapat sesuatu bagi mereka yang mencari spirit(semangat) yang hilang.

Sesungguhnya jalan dakwah itu bukanlah jalan yang dihampar permaidani merah.Dengan mempertaruhkan iman dan takwa, berbagai ujian dan cubaan pasti akan ditempuhi.Ujian kesusahan dan kesempitan yang memeritkan masih mampu pejuang dakwah hadapi malah menjadikan hati-hati mereka cekal dan terus tabah.Namun,kesenangan dan nikmat yang mengasyikkan adalah ujian yang mencucuk futur atau gugur dari medan dakwah.

Memetik perumpamaan Ustaz Rahmat Abdullah dalam filem Sang Murabbi, ujian yang menimpa umpama angin yang menimpa seekor monyet yang sedang berpaut di dahan pepohon.Andai angin yang melanda adalah angin taufan malah puting beliung masih belum mampu menjatuhkan sang monyet.Sang monyet pastinya akan memperkemaskan cengkaman dan memeluk erat dahan tempatnya sedang berpaut.Tetapi andai angin yang menyapa adalah angin bayu sepoi-sepoi bahasa,enak dan nyaman menyusup ke dalam ubun-ubunnya,lantas sang monyet akan lena dan dibuai kelekaan.Tatkala itulah ia akan lupa pada dahannya dan akan jatuh,rebah menyembah bumi.

Ya Allah,walau seribu ujian yang menimpa,kau tabahkanlah diri ini.Kekalkanlah hati dan jiwa ini pada taliMu dan di jalan dakwahMu.

Semoga Sang Singa Hati sehebat Sang Murabbi di medan dakwah ini.

Seeru ‘ala Barakatillah.

” Setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, tarikh permulaan puasa jatuh pada esok hari.”

Pastinya ini adalah skrip yang akan dibaca penyimpan mohor besar raja-raja saban tahun tatkala mengumumkan tarikh 1 Ramadhan.

Bulan Ramadhan bulan penuh keberkatan.Bulan yang terhimpun didalamnya Lailatul Qadar, malam Nuzul Quran dan peristiwa penting sirah Islam ; Perang Badar, pembukaan Kota Makkah, pembukaan Andalusia dan lain-lain.

Bulan Ramadhan adalah bulan tarbiyah.Bulan yang menjadi madrasah untuk memproses diri, rohani dan jasmani.Seharusnya di bulan mulia ini kaum muslimin berazam untuk beribadah seoptimum mengambil peluang yang belum tentu akan berkunjung lagi.Jangan sia-siakan peluang Ramadhanmu duhai kawan..

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat”

Di bulan ini tiada lagi pendorong utama anak Adam untuk melakukan maksiat setelah syaitan dibelenggu.Andai di bulan Ramadhan, kaki masih melangkah ke tempat maksiat, mata masih melihat maksiat, fikiran masih memikirkan maksiat, ia adalah atas kemahuan dan hawa nafsu manusia yang tulen.Kejahatan dan kemaksiatan manusia yang sebenar-benarnya.Syaitan bersorak, hasil didikannya berjaya walau setelah dirinya tiada.Nauzubillah.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Al-baqarah : 183)

Iman dan akidah itu input ajaran Islam. Puasa dan ibadah lainnya merupakan proses untuk menghasilkan output yakni akhlak yang baik.Bulan Ramdhan adalah masa yang terbaik untuk menjana dan memprosesnya nilai-nilai iman.Tanpa godaan syaitan, bahkan akan beroleh ganjaran yang akan dilipat gandakan.Berakhir bulan Ramadhan, kita keluar dari Madrasah Ramadhan sebagai insan berakhlak mulia dan menepati ciri-ciri insan bertakwa.

Berdoalah bersama duhai kawan, moga Ramadhan kali ini kita diberikan kekuatan untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah-ibadah selainnya dengan sebaik-baiknya.Moga ibadah kita adalah ibadah insan yag ikhlas dan penuh dengan sifat tawadhuk dan rasa kehambaan.Tiada gelisah menunggu berbuka, tiada lelah mengerjakan Tarawih di malamnya.Moga nafsuku dapat ku lenturkan…amin.

Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, penghujungnya pembebasan dari api neraka..

Selamat menyambut Ramadhan 1429 Hijrah.

Ahlan marhaban ya Ramadhan.

Seeru ‘ala Barakatilah

February 2020
M T W T F S S
« Aug    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
242526272829  

Doakan Palestin

Menyokong penduduk Palestin di Gaza adalah satu kewajipan agama pada setiap individu Islam dan tiada siapa dikecualikan daripada tugas tersebut -Sheikh Yusuf Al-Qardawi-