Hampir sebulan blog ini tersadai, umpama senaskhah kitab yang disimpan di dalam almari. Pastinya ia telah berhabuk dan bilik akan akan dipenuhi debu-debu putih andai ditiup. Maafkan daku..

Bukan ku sengaja meninggalkan apatah lagi andai dikata sudah luntur semangat ataupun hangat-hangat tahi ayam untuk berblog. Sepanjang sebulan kembali di tanah air, menjalani ibadah puasa kemudian sempat beraya 2 hari bersama keluarga, hanya memungkinkan untuk menulis 1 artikel ke blog asadulqalb ini. Aduh, alangkah perlahannya..

Setelah seminggu pulang semula ke bumi Jepun berbagai perkara telah pun selesai; kemasukan ke universiti tahun hadapan, mid term presentation untuk graduation research. Alhamdulillah, dengan izin tuhan satu persatu telah dapat diselesai dan dimuktamadkan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan dan sahabat yang menghulurkan doa serta sokongan. Teringat kata-kata seorang sahabat, “Selesaikan satu-satu Zul”. Sekali lagi, Alhamdulillah dan terima kasih..

Kini, terasa sedikit kelapangan yang melapangkan. Namun beringatlah, anak muda dibunuh oleh masa lapangnya yang tidak terisi. Terasa ingin benar untuk aktif kembali berblog, tapi disebabkan ketiadaan komputer di bilik mungkin keinginan itu belum benar-benar dapat diterjemahkan kepada tindakan. InsyaAllah komputer baru akan dibeli bulan hadapan. Sekurang-kurangnya masa yang ada boleh digunakan untuk menelaah buku bacaan yang banyak dibawa dari Malaysia. Meneruskan proses menajamkan mata-mata gergaji walau selepas Ramadhan. Asah jangan tak asah..

Di kesempatan ini juga dan belum terlambat rasanya, penulis ingin mengucapkan..

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, minal aidin wal faizin

Diatas segala salah dan silap, seribu kemaafan di pohon

Akhir kata..aku ingin kembali, rehatku hanya sekadar untuk mengesat hanyir darah di pedang perjuangan…

Seeru `ala Barakatillah