Tarikh 11 September 2008 Masihi bersamaan 11 Ramadhan 1429 Hijriah. Segala puji bagi Allah yang mengatur perjalanan alam, tarikh Masihi bersamaan dengan tarikh Hijri. Jika dihitung 10 hari Ramadhan telah berlalu, 20 hari lagi Ramadhan yang tinggal untuk ditempuh. Setiap perhitungan tetap membawa kesayuan kerana Ramadhan yang penuh keberkatan ini semakin berlalu, pantas meninggalkan tanpa berlengah, tanpa bertangguh. Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Rugilah bagi mereka yang membiarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja.

Awalnya rahmat, itulah antara nilai keberkatan Ramadhan. Sepuluh yang pertama telah berlalu dan kini memasuki fasa kedua, pertengahannya keampunan. Ketika ini enjin ibadah seharusnya semakin dipacu dengan gear yang lebih tinggi. Diharapnya usahlah di pertengahan enjin menjadi sejuk lalu terus padam ditengah jalan, hangat-hangat tahi ayam. Endahkan penat lenguh, istiqamahlah dan rebutlah peluang dalam beramal. Apatah lagi semakin ke penghujungnya, Lailatul Qadar bakal menjadi malam terindah bagi mereka yang mengisinya.

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimananan dan mengharapkan keampunan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu” [Muttafaqun ‘alaih]

Seminggu sudah peluang berpuasa di Malaysia di nikmati. Dengan berbuka dan bersahur menikmati masakan ibu tercinta, segala puji dan syukur jua kepadaNya. Hanya sekali dua berbuka diluar, dan yang menarik perhatian adalah berbuka Nasi Beriani yang dikatakan antara paling sedap di Kuala Lumpur. Berbuka bersama seorang teman, terasa ‘keinsafan’ bersesuaian dengan nama restorannya. Bukanlah tidak menepati selera, cuma tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Teringat Nasi Beriani di salah sebuah restoran di Kota Tokyo. kepuasannya terasa walaupun sentimen lama yang berbekas masih ada.

Bazar Ramadhan

Bazar Ramadhan

Berpuasa di Malaysia, sajian berbuka bukanlah yang menjadi perkiraan utama. Bukankah Ramadhan, bulan untuk mendidik hawa nafsu termasuk nafsu makan. Mujur, walau seribu satu macam juadah di Bazar Ramadhan, cukuplah masakan ibu menjadi pilihan. Dilihat dengan mata kasar dan dinilai dengan mata hati, dapat di ukur sejauh mana pergerakan aliran ekonomi. Pengunjung yang kurang, harga jualan yang terpaksa dijual mahal, juadah tersisa tidak habis dijual..sekurang-kurangnya cukuplah menjadi kayu ukur dan gambaran.

Pastinya dapat mengisi malam Ramadhan di masjid adalah nikmat yang setinggi kesyukuran dipanjatkan kepadaNya. Peluang yang jarang-jarang dan sukar diperolehi di bumi sakura, Jepun. Bersolat, bertarawih, bertilawah di rumahNya membuatkan setiap malam Ramadhan terasa lengkap dan ada keindahannya. Syukur padaMu ya Allah yang mengatur perjalanan hidupku, mengatur cutiku pulang ke tanah air dalam bulan Ramdhan, mengizinkan diri ini menikmati dan mengisi Ramadhan dengan sebaiknya, sebaik-sebaik perancangan ke atas diriku.Alhamdulillah.

Seeru ‘ala Barakatillah