“Berita gempar, Saiful dah bersumpah!”

“Najib pulak dah bersumpah kat Permatang Pauh semalam.”

Aku pula, “Binatang sesumpah tak boleh makan, tak sedap pun!”

Dialog-dialog yang mengiringi perbualan rancak mengenai pilihan raya kecil P.44 Permatang Pauh.

Foto ehsan Malaysiakini

Membaca perkembangan politik Malaysia di kala ini, membuatkan diri bosan, lesu dan jemu untuk terus mengamatinya.Pilihan raya kecil Permatang Pauh kali ini, memaksa diri hanya untuk menunggu,melihat dan mendengar, untuk berbicara mengulasnya ketika rakan-rakan rancak berbual…MALAS menjadi alasan.Cukuplah kepala ligat memerhati dan menilai, yang sudah pun sedia meletihkan.

Cendekiawan Islam Turki, Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata, “Aku berlindung denganMu ya Allah dari syaitan dan politik.”

Politik yang dimaksudkan adalah politik kotor.Politik yang mengenepikan batas-batas syariat dan tatasusila kemanusiaan.Pentas politik dimainkan wataknya oleh sang pendusta dan mereka yang bertuhankan hawa nafsu.Digadaikan budi pekerti, tanpa segan silu dan tanpa ragu-ragu.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)

Merenung sepotong hadis ini yang tersiar di halaman Ustaz Hasrizal, membuatkan diri berfikir, ke masa depan bagaimanakah yang ingin kita halakan Malaysia ini..

Kepada pengundi P.44 Permatang Pauh, selamat mengundi, keputusan di akhir pangkahan anda.

“Mengubah sejarah atau menjadi sebahagian cerita sejarah..”

Seeru ‘ala Barakatillah