1hb Disember 1986,di hari itu diri ini adalah putera sulung ibunda dan ayahanda yang tercinta.Kini usia menginjak 22 tahun.Meningkatnya umur,seiring itulah terasa meningkatnya tanggungjawab dan amanah yang digalas di bahu.Seiring dengan kematangan diri juga harapnya.Sesungguhnya kehidupan ini adalah satu amanah.

Berada di titik peralihan usia,diri bermuhasabah sejenak.Ketika sedang terus memandang ke hadapan,harus di toleh umur yang telah ditinggalkan.Umpama meninggalkan jejak di pasiran pantai di setiap langkahan,adakah begitu rupa jejak kebaikan dan manfaat yang telah ditinggalkan pada usia yang lalu?

beachfootprints

Keberkatan umur terletak pada sejauh mana usia itu digunakan untuk kebaikan dan dan manfaat bagi diri sendiri mahupun orang lain.Sering manusia merasa kerugian ketika merenung usianya yang lalu,lantaran usianya yang lampau kosong kerana keculasan menggunakan umurnya pada sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat.Biarlah umur itu tidak panjang namun berjaya diisi dengan amal dan kebaikan.Bagaimanakah rupa usia yang ku tinggalkan?

Setahun meningkatnya umur beerti setahun diri semakin menghampiri kematian.Mati itu benar dan mati itu pasti.Namun diri ini masih sering lalai dan alpa.Pastinya cita-cita ku menggunung,impian ku tinggi melangit.Namun moga di akhirnya ku menggapai impian tertinggi,mati sebagai hamba yang diredhai dan bertemu Dia yang tertinggi di syurga yang kekal abadi.Moga amalku seiring apa yang diimpi.

Sanah Helwah Zulhelmi.

Seeru ‘ala Barakatillah.

Serulah (manusia) kepada jalan TuhanMu denga hikmah dan nasihat yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya TuhanMu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

( Surah al-Nahl : 125)

sang-murabbi-poster1

“Apakah gerangan yang menjadikan dunia ini lebih menarik daripada dakwah itu sendiri?”

“Pedih hati, ustaz, melihat iman kita ini yang dipertaruhkan itu dikalahkan hanya oleh jabatan(pangkat) dan harta,ustaz.”

Itulah antara bait kata-kata yang dipetik dari dalam filem Sang Murabbi.Alhamdulillah,dengan kemurahan hati seorang sahabat yang sudi meminjamkan DVD filem tersebut, dapat juga diri ini menonton filem yang memberi mesej dalam kepada setiap diri yang sedia berkorban di jalan dakwah.

Sebuah filem yang menyentuh jiwa.Mengisahkan liku-liku kehidupan seorang syeikh tarbiyah di Indonesia,Ustaz Rahmat Abdullah.Dipaparkan uslub dakwah dan nilai tarbiyah beliau yang mampu dicontohi oleh mereka yang bergelar para dai’.Sesungguhnya di dalam filem ini terdapat sesuatu bagi mereka yang mencari spirit(semangat) yang hilang.

Sesungguhnya jalan dakwah itu bukanlah jalan yang dihampar permaidani merah.Dengan mempertaruhkan iman dan takwa, berbagai ujian dan cubaan pasti akan ditempuhi.Ujian kesusahan dan kesempitan yang memeritkan masih mampu pejuang dakwah hadapi malah menjadikan hati-hati mereka cekal dan terus tabah.Namun,kesenangan dan nikmat yang mengasyikkan adalah ujian yang mencucuk futur atau gugur dari medan dakwah.

Memetik perumpamaan Ustaz Rahmat Abdullah dalam filem Sang Murabbi, ujian yang menimpa umpama angin yang menimpa seekor monyet yang sedang berpaut di dahan pepohon.Andai angin yang melanda adalah angin taufan malah puting beliung masih belum mampu menjatuhkan sang monyet.Sang monyet pastinya akan memperkemaskan cengkaman dan memeluk erat dahan tempatnya sedang berpaut.Tetapi andai angin yang menyapa adalah angin bayu sepoi-sepoi bahasa,enak dan nyaman menyusup ke dalam ubun-ubunnya,lantas sang monyet akan lena dan dibuai kelekaan.Tatkala itulah ia akan lupa pada dahannya dan akan jatuh,rebah menyembah bumi.

Ya Allah,walau seribu ujian yang menimpa,kau tabahkanlah diri ini.Kekalkanlah hati dan jiwa ini pada taliMu dan di jalan dakwahMu.

Semoga Sang Singa Hati sehebat Sang Murabbi di medan dakwah ini.

Seeru ‘ala Barakatillah.

Hampir sebulan blog ini tersadai, umpama senaskhah kitab yang disimpan di dalam almari. Pastinya ia telah berhabuk dan bilik akan akan dipenuhi debu-debu putih andai ditiup. Maafkan daku..

Bukan ku sengaja meninggalkan apatah lagi andai dikata sudah luntur semangat ataupun hangat-hangat tahi ayam untuk berblog. Sepanjang sebulan kembali di tanah air, menjalani ibadah puasa kemudian sempat beraya 2 hari bersama keluarga, hanya memungkinkan untuk menulis 1 artikel ke blog asadulqalb ini. Aduh, alangkah perlahannya..

Setelah seminggu pulang semula ke bumi Jepun berbagai perkara telah pun selesai; kemasukan ke universiti tahun hadapan, mid term presentation untuk graduation research. Alhamdulillah, dengan izin tuhan satu persatu telah dapat diselesai dan dimuktamadkan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan dan sahabat yang menghulurkan doa serta sokongan. Teringat kata-kata seorang sahabat, “Selesaikan satu-satu Zul”. Sekali lagi, Alhamdulillah dan terima kasih..

Kini, terasa sedikit kelapangan yang melapangkan. Namun beringatlah, anak muda dibunuh oleh masa lapangnya yang tidak terisi. Terasa ingin benar untuk aktif kembali berblog, tapi disebabkan ketiadaan komputer di bilik mungkin keinginan itu belum benar-benar dapat diterjemahkan kepada tindakan. InsyaAllah komputer baru akan dibeli bulan hadapan. Sekurang-kurangnya masa yang ada boleh digunakan untuk menelaah buku bacaan yang banyak dibawa dari Malaysia. Meneruskan proses menajamkan mata-mata gergaji walau selepas Ramadhan. Asah jangan tak asah..

Di kesempatan ini juga dan belum terlambat rasanya, penulis ingin mengucapkan..

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, minal aidin wal faizin

Diatas segala salah dan silap, seribu kemaafan di pohon

Akhir kata..aku ingin kembali, rehatku hanya sekadar untuk mengesat hanyir darah di pedang perjuangan…

Seeru `ala Barakatillah

Tarikh 11 September 2008 Masihi bersamaan 11 Ramadhan 1429 Hijriah. Segala puji bagi Allah yang mengatur perjalanan alam, tarikh Masihi bersamaan dengan tarikh Hijri. Jika dihitung 10 hari Ramadhan telah berlalu, 20 hari lagi Ramadhan yang tinggal untuk ditempuh. Setiap perhitungan tetap membawa kesayuan kerana Ramadhan yang penuh keberkatan ini semakin berlalu, pantas meninggalkan tanpa berlengah, tanpa bertangguh. Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Rugilah bagi mereka yang membiarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja.

Awalnya rahmat, itulah antara nilai keberkatan Ramadhan. Sepuluh yang pertama telah berlalu dan kini memasuki fasa kedua, pertengahannya keampunan. Ketika ini enjin ibadah seharusnya semakin dipacu dengan gear yang lebih tinggi. Diharapnya usahlah di pertengahan enjin menjadi sejuk lalu terus padam ditengah jalan, hangat-hangat tahi ayam. Endahkan penat lenguh, istiqamahlah dan rebutlah peluang dalam beramal. Apatah lagi semakin ke penghujungnya, Lailatul Qadar bakal menjadi malam terindah bagi mereka yang mengisinya.

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimananan dan mengharapkan keampunan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu” [Muttafaqun ‘alaih]

Seminggu sudah peluang berpuasa di Malaysia di nikmati. Dengan berbuka dan bersahur menikmati masakan ibu tercinta, segala puji dan syukur jua kepadaNya. Hanya sekali dua berbuka diluar, dan yang menarik perhatian adalah berbuka Nasi Beriani yang dikatakan antara paling sedap di Kuala Lumpur. Berbuka bersama seorang teman, terasa ‘keinsafan’ bersesuaian dengan nama restorannya. Bukanlah tidak menepati selera, cuma tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Teringat Nasi Beriani di salah sebuah restoran di Kota Tokyo. kepuasannya terasa walaupun sentimen lama yang berbekas masih ada.

Bazar Ramadhan

Bazar Ramadhan

Berpuasa di Malaysia, sajian berbuka bukanlah yang menjadi perkiraan utama. Bukankah Ramadhan, bulan untuk mendidik hawa nafsu termasuk nafsu makan. Mujur, walau seribu satu macam juadah di Bazar Ramadhan, cukuplah masakan ibu menjadi pilihan. Dilihat dengan mata kasar dan dinilai dengan mata hati, dapat di ukur sejauh mana pergerakan aliran ekonomi. Pengunjung yang kurang, harga jualan yang terpaksa dijual mahal, juadah tersisa tidak habis dijual..sekurang-kurangnya cukuplah menjadi kayu ukur dan gambaran.

Pastinya dapat mengisi malam Ramadhan di masjid adalah nikmat yang setinggi kesyukuran dipanjatkan kepadaNya. Peluang yang jarang-jarang dan sukar diperolehi di bumi sakura, Jepun. Bersolat, bertarawih, bertilawah di rumahNya membuatkan setiap malam Ramadhan terasa lengkap dan ada keindahannya. Syukur padaMu ya Allah yang mengatur perjalanan hidupku, mengatur cutiku pulang ke tanah air dalam bulan Ramdhan, mengizinkan diri ini menikmati dan mengisi Ramadhan dengan sebaiknya, sebaik-sebaik perancangan ke atas diriku.Alhamdulillah.

Seeru ‘ala Barakatillah

” Setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, tarikh permulaan puasa jatuh pada esok hari.”

Pastinya ini adalah skrip yang akan dibaca penyimpan mohor besar raja-raja saban tahun tatkala mengumumkan tarikh 1 Ramadhan.

Bulan Ramadhan bulan penuh keberkatan.Bulan yang terhimpun didalamnya Lailatul Qadar, malam Nuzul Quran dan peristiwa penting sirah Islam ; Perang Badar, pembukaan Kota Makkah, pembukaan Andalusia dan lain-lain.

Bulan Ramadhan adalah bulan tarbiyah.Bulan yang menjadi madrasah untuk memproses diri, rohani dan jasmani.Seharusnya di bulan mulia ini kaum muslimin berazam untuk beribadah seoptimum mengambil peluang yang belum tentu akan berkunjung lagi.Jangan sia-siakan peluang Ramadhanmu duhai kawan..

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat”

Di bulan ini tiada lagi pendorong utama anak Adam untuk melakukan maksiat setelah syaitan dibelenggu.Andai di bulan Ramadhan, kaki masih melangkah ke tempat maksiat, mata masih melihat maksiat, fikiran masih memikirkan maksiat, ia adalah atas kemahuan dan hawa nafsu manusia yang tulen.Kejahatan dan kemaksiatan manusia yang sebenar-benarnya.Syaitan bersorak, hasil didikannya berjaya walau setelah dirinya tiada.Nauzubillah.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Al-baqarah : 183)

Iman dan akidah itu input ajaran Islam. Puasa dan ibadah lainnya merupakan proses untuk menghasilkan output yakni akhlak yang baik.Bulan Ramdhan adalah masa yang terbaik untuk menjana dan memprosesnya nilai-nilai iman.Tanpa godaan syaitan, bahkan akan beroleh ganjaran yang akan dilipat gandakan.Berakhir bulan Ramadhan, kita keluar dari Madrasah Ramadhan sebagai insan berakhlak mulia dan menepati ciri-ciri insan bertakwa.

Berdoalah bersama duhai kawan, moga Ramadhan kali ini kita diberikan kekuatan untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah-ibadah selainnya dengan sebaik-baiknya.Moga ibadah kita adalah ibadah insan yag ikhlas dan penuh dengan sifat tawadhuk dan rasa kehambaan.Tiada gelisah menunggu berbuka, tiada lelah mengerjakan Tarawih di malamnya.Moga nafsuku dapat ku lenturkan…amin.

Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, penghujungnya pembebasan dari api neraka..

Selamat menyambut Ramadhan 1429 Hijrah.

Ahlan marhaban ya Ramadhan.

Seeru ‘ala Barakatilah

“Tahun ni Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-51.”

“Bloggers tersebut kurang ajar! Tidak patriotik pasang bendera terbalik.”

Antara laungan patriotik pemimpin Malaysia menjelang ulangtahun Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-51.

Tidak sangka Malaysiaku tercinta kini sudah mampu mencapai umur ke 51 selepas bebas dari belenggu penjajahan.Dari sebuah bangsa yang dikatakan membuat sebatang jarum pun diperolok-olokkan, kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.Sering dicanangkan Malaysia adalah negara membangun yang paling maju di dunia.

Namun adakah itu nilai kemerdekaan yang sebenar? Benar, kemerdekaan beerti kebebasan.Namun adakah kebebasan itu bermaksud kebebasan beragama(baca:murtad), hubungan bebas muda mudi, kebebasan berfikir yang menolak panduan Al-Quran dan Sunnah?

Kata bijak pandai, untuk melihat sesebuah tamadun itu di masa hadapan, lihatlah pemuda pemudinya di zaman sekarang.

Merdekakah anak muda generasi hadapan kita kini dari penjajahan akal dan pemikiran? Budaya hedonisme atau hiburan melampau menjadi kiblat utama dan akhlak dikesampingkan menghilangkan nilai keindahan Islam.

Hancurnya Tamadun Rom bukanlah kerana lumpuhnya kekuatan tentera penjajahnya, runtuhnya Kerajaan Islam Abbassiyyah bukan juga kerana runtuhnya Baitul Hikmah yang menjadi kiblat ilmu di dunia ketika itu.Binasanya tamadun kerana binasa dan luluhnya akhlak dan suburnya hedonisme.Sesungguhnya sejarah benar-benar mengajar manusia, hanya untuk mereka yang mahu berfikir..

Merdekakan fikiranmu duhai generasiku, bebaskan dirimu dari belenggu hawa nafsu dan pautan dunia yang menipu.

Aku, engkau, dia dan mereka..kitalah penyambung warisan..

31 Ogos..Selamat Hari Kemerdekaan ke-51 duhai Malaysiaku..

Seeru ‘ala Barakatillah

“Berita gempar, Saiful dah bersumpah!”

“Najib pulak dah bersumpah kat Permatang Pauh semalam.”

Aku pula, “Binatang sesumpah tak boleh makan, tak sedap pun!”

Dialog-dialog yang mengiringi perbualan rancak mengenai pilihan raya kecil P.44 Permatang Pauh.

Foto ehsan Malaysiakini

Membaca perkembangan politik Malaysia di kala ini, membuatkan diri bosan, lesu dan jemu untuk terus mengamatinya.Pilihan raya kecil Permatang Pauh kali ini, memaksa diri hanya untuk menunggu,melihat dan mendengar, untuk berbicara mengulasnya ketika rakan-rakan rancak berbual…MALAS menjadi alasan.Cukuplah kepala ligat memerhati dan menilai, yang sudah pun sedia meletihkan.

Cendekiawan Islam Turki, Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata, “Aku berlindung denganMu ya Allah dari syaitan dan politik.”

Politik yang dimaksudkan adalah politik kotor.Politik yang mengenepikan batas-batas syariat dan tatasusila kemanusiaan.Pentas politik dimainkan wataknya oleh sang pendusta dan mereka yang bertuhankan hawa nafsu.Digadaikan budi pekerti, tanpa segan silu dan tanpa ragu-ragu.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)

Merenung sepotong hadis ini yang tersiar di halaman Ustaz Hasrizal, membuatkan diri berfikir, ke masa depan bagaimanakah yang ingin kita halakan Malaysia ini..

Kepada pengundi P.44 Permatang Pauh, selamat mengundi, keputusan di akhir pangkahan anda.

“Mengubah sejarah atau menjadi sebahagian cerita sejarah..”

Seeru ‘ala Barakatillah

“Aduh, sedapnya lagu yang sedang berkumandang ni, tak pernah dengar pun.”

Monolog hati dalam separuh sedar.Ketika mata masih semahu-mahunya memejamkan diri, terdengar alunan nasyid yang indah irama dan senikatanya.

Azab Ilahi – Irsyadee

(Doa Dalam Bahasa Arab)
(lirik doa dalam bahasa Arab)

Lapangkanlah hatimu dalam musibah
Dan bersabarlah di jalan Allah
Jangan hanya memeluk dunia fana
Yang bersalut dengan dosa

Ingat azab neraka
Akan mengejarmu saat kau mati
Jadi jujurlah harungi hidup ini
Jauhi azab ilahi

Chorus:
Bersyukurlah selalu
Dan jangan ragu
Nescaya jauh azabmu

Terima kasih kepada saudara Jimi yang sengaja memutarkan lagu ini memecahkan hening pagi hari ke 3 Summer Camp IPIJ 2008.Pertama kali mendengar,menusuk ke telinga lalu hinggap di hati.Cinta dari telinga turun ke hati agaknya.Pulang dari program, dicari dan dimuat turun, dimainkannya berulang-ulang.Masih tidak jemu mendengar dan menghayati.

Sesungguhnya setiap yang mengaku beriman akan pasti diuji.Kesusahan, kesakitan, kesempitan sering di anggap itulah ujian.Kesenangan, kebahagian adalah juga ujian di balik nikmat.Ujian pasti datang menduga, hanya terpulang bagaimana kita akan memberi reaksi terhadap ujian yang menimpa.

Adakah kesedihan akan membawa kemurungan dan memencilkan diri? Kegembiraan akan membuat manusia lupa diri? Sesungguhnya kebijaksanaan menilai dan bertindak yang sebaiknya terhadap suatu ujian itulah nilai sebenar kesabaran.

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku.”Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”

( Al-Fajr : 15-16 )

“Ya Allah, ketika diri ini dilambung onak kesusahan dan kesempitan, kau lapangkan dan tabahkanlah hati ini menghadapinya. Janganlah Engkau jadikan diriku ini hambaMu yang berpaling dariMu ketika saat Kau menguji diri ini.Ya Allah, kau berikanlah kekuatan dan kurniakanlah kesabaran di jalanMu.”

Seeru ‘ala Barakatillah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua,

“Kita bukanlah pemula kepada rantaian dakwah ini,tapi kita haruslah bermula dari dalam diri sendiri”

Itulah ungkapan dari penceramah jemputan Summer Camp IPIJ 2008, Ustaz Hasrizal@Abu Saif.Sesuatu yang memberi nafas baru dan menyedarkan diri ini.Usaha dakwah harus bermula dari dalam diri, dan hasil dari kesedaran itu Allah menggerakkan hati ini untuk memulakan Blog AsadulQalb ini.Langkahan pertama mungkin sukar,tapi jika kita tidak berani melangkah kita tidak akan kemana dan statik,beku tidak bergerak.

InsyaAllah blog ini akan cuba dimanfaatkan untuk berkongsi dan mencurahkan segala pengalaman yang berguna.Semoga segala-galanya diatas keredhaan dan keberkatan Allah.Tuhan yang diletakkan padaNya segala harapan.

Ikuti ulasan dan harapan ustaz Hasrizal untuk Summer Camp IPIJ 2008 di saifulislam.com.

Aku menulis ~ Bukan Kerna Nama

Seeru ‘ala Barakatillah

 

November 2009
M T W T F S S
« Jun    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Doakan Palestin

Menyokong penduduk Palestin di Gaza adalah satu kewajipan agama pada setiap individu Islam dan tiada siapa dikecualikan daripada tugas tersebut -Sheikh Yusuf Al-Qardawi-